Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Lilypie First Birthday tickers

Lilypie First Birthday tickers

Isnin, 19 November 2012

MENU KAYA ZAT BESI


Menu Kaya Zat Besi

p
Secara umumnya, kanak-kanak perlu makan sekurang-kurangnya dua atau lebih hidangan yang kaya dengan zat besi setiap hari untuk memastikan bekalan zat besi dalam tubuhnya mencukupi. Akan tetapi, ramai ibu bapa masih samar tentang apakah makanan yang kaya zat besi.  
Bayi yang baru lahir biasanya mendapatkan zat besi sepenuhnya daripada susu ibu. Namun, setelah berusia di antara empat hingga enam bulan, bayi perlukan lebih banyak zat besi. Oleh itu, mereka perlu dapatkannya daripada makanan pejal yang diambil setiap hari.  Jadi, adalah menjadi tanggung jawab ibu bapa memberi anak-anak mereka makanan yang kaya dengan zat besi secukupnya.  
Antara makanan kaya zat besi ialah:
  • Hati
  • Daging merah tanpa lemak
  • Makanan laut seperti tiram, salmon, udang dan tuna.
  • Kekacang
  • Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli
  • Tauhu
  • Ayam
  • Kuning telur
  • Buah-buahan kering seperti kismis, prun, kurma dan aprikot
Tahukah anda:
Selain berfungsi membentuk sel darah merah yang normal, zat besi memainkan dua lagi  peranan penting dalam tubuh manusia iaitu membawa oksigen masuk ke dalam darah dan membawa oksigen ke dalam sel-sel tubuh. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia. Anemia boleh menyebabkan keletihan, kegagalan fungsi jantung dan menjejaskan fungsi otak. Kanak-kanak anemia juga kurang fokus dan kurang berminat untuk melakukan aktiviti yang memerlukan dia menggunakan mindanya.  

MAKANAN UNTUK MATA


Makanan Untuk Mata Sihat

pix
Mata merupakan organ tubuh yang penting dan bernilai bagi setiap insan. Oleh itu, jagalah mata sebaiknya. Berikut adalah beberapa fakta pemakanan khas untuk mata sebagai hadiah daripada ibu bapa untuk anak tersayang.
Penjagaan mata sangat penting terutamanya pada peringkat awal perkembangan deria penglihatan. Atas alasan inilah ibu bapa perlu memainkan peranan dan bertanggung jawab untuk memastikan mata anak dijaga sebaiknya. Penjagaan mata bermula dengan makanan untuknya. Sajikan hanya yang terbaik untuk anak anda.
Vitamin-vitamin yang diperlukan oleh mata
Protein
Protein adalah bahan asas yang diperlukan untuk nutrisi, perkembangan dan proses baik pulih tubuh. Protein juga berperanan besar terhadap metabolisme serta pemprosesan bahan kimia dan enzim yang berlaku dalam badan.  
Kalsium
Makanan yang kaya kalsium juga baik untuk mata kerana kalsium berfungsi untuk menghapuskan ketegangan ocular. Kekacang dan produk soya, hasil tenusu, ikan, udang, sotong, walnut, cendawan dan biji teratai adalah antara makanan yang kaya kalsium.
Vitamin A
Vitamin A bagus untuk menangani pelbagai jenis masalah mata termasuklah masalah penglihatan kurang jelas ketika waktu gelap ataupun suram. Makanan yang kaya dengan vitamin A ialah minyak ikan, lobak merah, telur, keju, mentega, susu, sayur-sayuran hijau dan oren.
Vitamin B
Vitamin B kompleks diperlukan untuk memastikan mata terus sihat. Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan mata berwarna merah, rasa panas, masalah katarak dan sensitif terhadap cahaya yang terang. Makanan yang boleh diambil ialah seperti bijirin, gandum dan ekstrak yis.
Vitamin C
Vitamin C dipercayai mampu mengelakkan mata daripada katarak dan glaukoma. Didapati mata yang sihat mengandungi vitamin C yang banyak. Antara makanan yang kaya vitamin C ialah buah-buahan sitrus, tomato, sayuran berdaun hijau dan kentang.
Vitamin E
Vitamin ini diperlukan untuk menghalang katarak. Ia membantu menyihatkan salur darah dan retina. Sumbernya ialah minyak sayur-sayuran, roti gandum, bijirin, dan sayur-sayuran hijau.
Zink
Zink diperlukan bagi membolehkan retina berfungsi dengan baik. Zink juga diperlukan bagi mengeluarkan vitamin A dari hati untuk digunakan oleh mata. Makanan yang kaya dengan zink ialah daging merah, kekacang, sardin, hati, dan kerang-kerangan.
Tanda-tanda mata kekurangan nutrisi:
  • Sukar menyesuaikan mata dengan perubahan cahaya terutamanya pada waktu malam.
  • Mata rasa kering, gatal, panas dan berwarna merah.
  • Bermasalah untuk memfokus.
  • Sukar untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu objek.
Kesimpulannya, kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti yang tercatat di atas, perlulah segera dibawa berjumpa pakar untuk menjalani pemeriksaan mata.
Makanan khas untuk mata:
  • Ikan
  • Hati
  • Labu
  • Lobak merah
  • Bayam
  • Brokoli
  • Tomato
  • Telur
  • Kekacang
  • Air yang banyak
  • Bijirin
Info penting
  1. ‘Xerophthalmia’ ialah masalah penglihatan yang disebabkan oleh kekurangan vitamin A dan boleh dielakkan dengan memakan sayur-sayuran segar, lemak dan protein.
  2. Dua jenis antioksida yang dikenali sebagai ‘carotenoids’ yang dipanggil ‘Lutein’ dan ‘Zeaxanthin’ mampu menyihatkan mata. ‘Lutein’ ada dalam mangga, ‘bilberries’, dan sayuran berdaun hijau. ‘Zeaxanthin’ pula ada dalam brokoli, jagung, salad (kecuali ‘iceberg’), oren, dan telur.
  3. Memasak sayur-sayuran dengan sedikit minyak dalam tempoh yang singkat membantu tubuh menghasilkan Retinol. Retinol ialah vitamin yang penting untuk perkembangan penglihatan dan tulang.
  4. Untuk mata yang sihat, hadkan pengambilan gula, minuman berkarbonat, makanan bergoreng, roti putih, kek, dan coklat.
  

MAKANAN UNTUK OTAK


Makanan Untuk Otak

pix
1. Salmon
Salmon merupakan sumber asid Omega 3 yang sangat baik. Kanak-kanak yang makan salmon sekurang-kurangnya dua kali seminggu akan mempunyai minda yang tajam.
2. Telur
Sumber protein yang sangat mudah boleh didapati daripada telur. Kuning telur mengandungi cholineyang penting untuk perkembangan otak.
3. Mentega kacang
Kacang dan mentega kacang kaya dengan vitamin E iaitu antioksida yang mengawal membran saraf.
4. Bijirin penuh
Otak memerlukan tahap gula secukupnya untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Pengambilan bijirin pada waktu pagi mampu memenuhi keperluan tersebut 
5. Oat
Oat merupakan bijirin untuk otak. Kanak-kanak yang mengambil bijirin ketika bersarapan akan mendapat tenaga pertama untuk otaknya daripada oat. Oat yang kaya dengan serat juga menyediakan tenaga sepanjang pagi untuk anak.
6. Buah beri
Buah-buah beri seperti strawberi, blueberries, ceri mengandungi antioksida yang sangat berkuasa. Vitamin C yang terkandung di dalamnya dikatakan mampu mengelakkan serangan penyakit kanser. Kanak-kanak yang mengambil buah beri secara konsisten akan dapat memperbaiki daya ingatannya.
7. Kekacang
Kekacang merupakan makanan otak yang utama untuk mengekalkan tahap tenaga pemikiran manusia.
8. Sayur-sayuran berwarna-warni
Warna terang pada sayur-sayuran segar sangat baik kerana warna tersebut menandakan kehadiran antioksida padanya selain daripada vitamin dan mineral yang penting. Antioksida mengekalkan sel otak yang kuat.
9. Susu dan yogurt
Protein dan vitamin B yang ada dalam produk tenusu penting untuk pertumbuhan tisu otak, enzim danneurotransmitters. Susu dan yogurt juga kaya dengan protein dan karbohidrat yang merupakan sumber tenaga untuk otak.
10. Daging tanpa lemak
Daging tanpa lemak merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan zat besi. Zat besi merupakan mineral yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan membantu mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Daging lembu juga mengandungi zink yang bagus untuk memori.

BAYI SELSEMA


Ubati Bayi Selesema

sdelesema
Jika bayi anda menghadapi selesema, anda boleh amalkan petua orang-orang tua ini. Perahkan limau nipis dan ambil daun sirih lalu celup ke dalam air perahan tadi. Selepas itu, sapukan pada dada dan leher bayi.

NUTRISI UNTUK OTAK


Nutrisi Untuk Otak

gizi
Otak kanak-kanak memerlukan nutrien yang mencukupi agar dapat berfungsi secara optimum. Pada peringkat awal usia, otak kanak-kanak berkembang dengan begitu pesat. Hasilnya, pada usia lima tahun, perkembangan otak mereka sudah mencapai 90 peratus dan kadar tersebut sangat berkait rapat dengan pemakanannya.

Untuk perkembangan otak, ada beberapa nutrisi penting yang diperlukan. Antaranya ialah DHA (asid dokosaheksaenoik), zat besi, zink dan asid folik.

DHA
DHA atau asid dokosaheksaenoik merupakan sejenis asid lemak omega-3 yang boleh didapati dalam setiap sel pada tubuh. DHA penting untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf pusat. Kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Keselamatan Pemakanan Eropah (EFSA) mendapati kanak-kanak berusia enam bulan sehingga dua tahun memerlukan sebanyak 100 miligram DHA untuk perkembangan otak mereka.

DHA merupakan elemen utama yang diperlukan untuk membentuk sel membran neuron yang menjadi penghubung antara sel yang lain serta mempengaruhi fungsi neurotransimitter acetylcholine dan membantu sel otak berhubung. Memberi anak diet harian yang kaya dengan DHA akan menjadikannya lebih fokus dan dapat memberi penuh tumpuan ketika bermain dan belajar. Antara makanan yang mengandungi DHA ialah ikan, telur dan ayam.

Zat Besi
Zat besi sangat penting untuk memudahkan pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah dan mencegah anemia. Ketahuilah bahawa otak kanak-kanak sensitif terhadap paras zat besi yang rendah. Kekurangan zat besi yang berlaku di kalangan kanak-kanak boleh merencatkan keupayaan pembelajaran mereka. Pada masa yang sama, kekurangan tersebut turut menyebabkan mereka hilang tumpuan, wujud simptom Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), pucat dan lesu. Penyelidik mendapati zat besi membantu meningkatkan aktiviti neurotransmiter di dalam otak. Sumber makanan yang kaya zat besi ialah seperti daging merah, hati, limpa, ikan bilis, tauhu dan tempe.

Zink
Zink penting untuk fungsi otak yang betul dan kekurangan zat besi dikaitkan dengan kelemahan kognitif. Kekurangan zink akan menyebabkan tumbesaran kanak-kanak terbantut, penurunan fungsi imuniti dan kurang selera makan. Daging dan makanan laut adalah sumber terbaik zink. Kekacang, germa gandum, bijirin penuh, makanan laut dan daging mempunyai kandungan zink yang tinggi.

Asid Folik
Asid folik yang juga dikenali sebagai folate merupakan mineral yang diperlukan untuk pertumbuhan sempurna bagi seseorang kanak-kanak. Asid ini penting bagi pembinaan DNA dalam setiap sel. DNA berperanan sebagai penyimpan maklumat bagi sel tersebut. Kanak-kanak yang kekurangan asid folik akan letih, lesu, kurang tumpuan, cepat marah dan pelupa. Sayur-sayuran hijau adalah sumber asid folik yang terbaik.

Makanan yang perlu dielakkan :

1. Makanan Bergaram
Makanan yang mengandungi terlalu banyak garam bukan sahaja menjadi pemangkin kepada masalah tekanan darah tinggi dan arteriosclerosis tetapi juga boleh merosakkan arteri. Keadaan ini seterusnya memberi kesan kepada bekalan darah ke tisu otak yang akan menyebabkan sel-sel otak mengalami ischaemia dan hypoxia yang menyebabkan hilang memori dan otak terencat. Keperluan garam bagi tubuh ialah 7 gram untuk orang dewasa dan kurang daripada 4 gram sehari bagi kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan agar kurangkan memberi anak makanan yang banyak garam seperti jeruk dan makanan ringan.

2. Makanan Yang Mengandungi MSG
Kajian perubatan menunjukkan bahawa ibu hamil yang selalu makan makanan yang mengandungi MSG atau monosodium glutamate pada peringkat akhir kehamilan boleh menyebabkan kekurangan zink pada bayi yang dikandunginya. Kekurangan zink boleh menyebabkan gangguan otak, pertumbuhan terencat, disleksia serta daya tahan penyakit terjejas. Tanda seseorang kanak-kanak itu kekurangan zink dapat dilihat apabila mereka tiada selera, hilang deria rasa dan susah sembuh. Oleh yang demikian, World Health Organization menggalakkan agar wanita hamil dan kanak-kanak tidak diberi makanan yang mengandungi MSG.

3. Plumbum
Kandungan plumbum yang tinggi dalam tubuh sangat membahayakan. Plumbum boleh mengganggu fungsi otak manusia. Kanak -kanak yang terlibat dengan masalah ini boleh menjadi hiperaktif dan mendapat sawan. Umumnya, plumbum yang terdapat di persekitaran boleh diperoleh daripada tanah yang tercemar, serpihan-serpihan cat, debu yang mengandungi plumbum, air yang dimasak atau disimpan di dalam bekas yang mengandungi plumbum, buah-buahan terutama yang berasid yang diletakkan dalam bekas berplumbum dan pensel warna serta warna air (apabila dimasukkan ke dalam mulut).

Dari segi biologi, plumbum sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai dalam tubuh walaupun di dalam kepekatan yang paling kecil. Oleh itu kepekatan yang paling sesuai bagi kandungan plumbum dalam darah ialah sifar. Kanak-kanak lebih terdedah kepada bahaya dan keracunan plumbum kerana plumbum mudah diserap oleh tubuh yang sedang berkembang. Pengumpulannya di dalam badan yang sedang membesar akan mengganggu pertumbuhan semula jadi sel-sel di dalam tubuh.

TIPS MENGAJAR ANAK


10 Tips Mengajar Anak

Mengajar anak
Bayi kecil tidak semestinya tidak boleh diajar. Jika anda mahu bayi anda menjadi pintar, anda perlu bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk membantu bayi anda mencapai sepenuhnya potensi dirinya.

1. Pengulangan
Bayi cepat belajar jika anda sentiasa melakukan pengulangan secara konsisten. Sebagai contoh, jika anda mahu mengajar bayi anda tentang warna, sebutkan warna itu misalnya warna biru. Begitu juga dengan abjad atau nombor. Jika anda terjumpa abjad atau nombor, sebutkan dengan kuat. Biarkan bayi anda mendengar. Jika anda lakukan secara kerap, bayi akan cepat belajar. Anda juga boleh cuba meletakkan sekumpulan barang berwarna sama di hadapan bayi anda. Seterusnya sentiasa mengulangi warna itu. Ini adalah teknik pengajaran yang terbaik untuk bayi. Minda anak anda adalah seperti ‘span’ pada usia ini, ia menyerap apa sahaja pengajarang yang diberikan kepadanya. Sekarang, terpulang kepada anda untuk mengisi dengan ilmu yang berguna.

2. Jangan Berbahasa Bayi!
Goo goo gaa gaa! Bahasa bayi yang begitu mengagumkan dan ia sememangnya sangat menarik apabila anda melihat bayi comel berbahasa begitu. Tetapi jangan ikut bahasa bayi anda, jika anda ingin mengajarnya berkomunikasi. Cara ini memang sukar, tetapi inilah cara mengajar yang betul untuk bayi anda bercakap. Cuba jangan bercakap bahasa bayi apabila bersama dengannya. Cuba bayangkan anda sedang bercakap orang dewasa. Paling bagus bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang betul. Daripada anda menggunakan ‘ne ne’ yang mewakili susu atau ‘mam mam’ untuk makanan. Anda pasti teruja bila bayi anda dapat belajar dengan pantas dengan bahasa yang betul.

3. Ganjaran
Seperti anak anda yang sudah besar, bayi juga suka diberi ganjaran. Mereka suka memberi pujian, memeluk dan menciumnya. Cubalah anda berkata ‘adik pandai’ sambil menepuk tangan, apabila bayi anda berjaya memasukkan blok mainan dalam kotak kecil. Pasti bayi anda menunjukkan riak wajah gembira kepada anda. Apa yang pasti, bayi suka dibelai dan dimanja dengan ucapan sayang. Bayi sangat suka jika dirinya dipeluk dan diberi ciuman. Selain itu, anda juga boleh memberikan ganjaran dengan memberikan biskut kegemarannya jika dia melakukan apa yang anda suka.

4. Bacakan Buku
Anda pastinya sudah biasa dengan cara ini, tetapi inilah cara istimewa untuk mengajar anak anda mengenal buku dan melatihnya untuk suka membaca buku. B acalah kepadanya walaupun dia belum faham apa yang anda bacakan. Sambil bayi anda duduk di atas riba anda, pegang tangannya untuk dia merasai buku itu. Tetapi kadang kala, bayi anda mungkin akan mengiggit buku, biarkan dia melakukan begitu, namun pastikan buku itu jenis kain. Dalam pada itu, teruskan membacakan buku kepadanya supaya dia suka membaca buku. Bayi anda akan cuba meniru anda membaca buku dan mungkin akan membaca sendiri nanti.

5. Mula Awal
Ajarlah anak anda pada awal usianya. Perkenalkan perkara baru kepada anak anda. Jangan menunggu pada usia 3 atau 4 tahun baru hendak mula mengajarnya abjad, nombor dan objek-objek di sekelilingnya. Anda harus lakukan pengajaran sekarang! Bayangkan anak kecil anda boleh mengenal nombor, huruf atau warna pada awal usianya. Pasti anda gembira dengan kecemerlangannya.

6. Bersabar
Percayalah anak anda tidak akan pintar jika anda tidak menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan seperti di atas secara konsisten. Namun anda kena bersabar untuk melakukannya kepada anak anda. Jangan putus asa, jika anda tidak mendapat melihat perubahan anak anda. Terus melakukan pengajaran sehingga anak anda pandai.

7. Penerokaan
Biarkan bayi anda melakukan penerokaan di sekelilingnya. Biarkan dia belajar memegang, merasa, menghidu bau, mendengar dan melihat. Misalnya untuk bau anda boleh sediakan bunga ros, buah epal untuk dia pegang dan puppet kecil untuk dia melihat. Namun pastikan ruang itu penerokaannya itu selamat untuk anak anda belajar dengan selesa dan gembira.

8. Belajar Dengan Gembira
Mengajar anak bukan sesuatu yang membosankan! Nyanyilah lagu dan aktiviti yang menyeronokkan untuk membantu anak anda belajar dengan gembira. Bayangkan, anda akan dapat melihat anak anda dapat belajar dengan cepat untuk mengambil barang dalam bekas permainannya. Lakukan ia setiap hari. Pasti anak anda dapat melakukan dengan baik sekali.

9. Permudahkan
Jangan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada anak anda supaya dapat mengikut arahan anda dengan betul. Dia masih kecil, berilah dia masa untuk melakukannya. Jangan biarkan dia duduk sehingga 4 jam untuk belajar abjad. Lakukan aktiviti yang ringkas dan mudah dalam tempoh masa yang pendek antara 5 hingga 10 minit untuk mengelak anak anda mudah berasa bosan.

10Teruskan! 
Untuk memastikan anda berjaya mengajarnya dengan baik, lakukan pengajaran setiap hari. Jangan putus asa. Ingat anda sedang mengajar anak kecil, bukannya anak yang besar yang sudah boleh berdikari. Pengajaran satu atau dua minggu tidak mencukupi untuk anak anda. Oleh itu, lakukan ia sebagai rutin harian untuk dia mengenal tentang persekitarannya. Lakukan dengan konsisten dan fokus supaya pembelajaran ini berjaya dengan cemerlang.


GIGi PERTAMA SI KECIL

Sebelum masak 6 bln lg Danish Dah tunjuk tanda2 tumbuh Gigi..so skrg dah naik pun Gigi Danish..mummy x sabar nk tgk..untuk rujukan mummy copy kan Sumber Dari majalah pa& ma di sini..

Gigi
Melihat gigi pertama bayi merupakan saat yang menggembirakan. Namun untuk menjaga giginya itu perlu dilakukan sejak kecil lagi. Percaya atau tidak, itulah hakikat yang mesti anda akui bahawa gigi mula terbentuk sejak bayi berusia beberapa bulan.

Kebanyakan bayi mulai tumbuh gigi sekitar usia enam bulan. Malah ada juga sesetengah bayi mulai tumbuh gigi pada usia 4 bulan dan ada juga yang tumbuh gigi pertama selepas berumur 1 tahun. Manakala dalam sesetengah kes, ada bayi yang dilahirkan sudah mempunyai gigi. Ia dikenali sebagai gigi neonatal. Gigi ini telah tumbuh dan hadir dalam mulut bayi semasa bayi dilahirkan. Ia amat jarang berlaku.

Reaksi
Apabila gigi susu tumbuh, jangan hairan jika anak anda menunjukkan perubahan sikap. Antara perubahan sikap atau reaksi yang biasa ialah :

Kegatalan Gusi
Ini boleh dikurangkan dengan memberi teether atau tuala sejuk untuk digigit agar bayi lebih selesa.

Gusi Sakit
Ini boleh dilihat dengan gusi kelihatan berwarna merah dan terasa panas. Bayi juga mungkin banyak merengek dan menangis kerana tidak selesa.

Demam
Ada juga bayi yang mungkin demam setiap kali tumbuh gigi. Ini boleh diatasi dengan memberikan bayi ubat tahan sakit seperti paracetamol. Namun pastikan dos yang diberi betul dan tidak melebihi had maksimum dalam sehari.

Kurang Makan
Selera makan bayi juga akan kurang. Jika bayi tidak mahu makan, pastikan dia mendapat cukup cecair. Berikan lebih susu dan air.

Atasi Masalah Ketika Tumbuh Gigi
1.Cuba memberinya sesuatu yang keras untuk di kunyah, seperti kepingan keju atau lobak merah atau gegelang gigi pertama yang sejuk. Jangan tinggalkan anak anda seorang diri ketika dia sedang mengunyah bedan keras, dikhuatiri jika ia tercekik.
2.Jika gusi bayi merah dan bengkak, urut lembut dengan jari anda atau ketulan kecil ais (tapi awas, bayi boleh mendapat frost bite). Cuba gunakan sedikit gel theeting bebas gula.
3.Jika si manja kelihatan sakit ketika tumbuh gigi, cecair paracetamol boleh membantu. Berikan mengikut nasihat doktor. Jangan berikan aspirin untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.
4.Dakap dan tenangkannya. Dukung dan bawanya berjalan-jalan atau bersiar-siar dengan kereta.
5. Sekali sekala bawa dia mengunjungi doktor gigi. Doktor gigi akan memberikan nasihat yang betul bagaimana untuk menjaga gigi pertama.
 

Penjagaan Gigi Dengan Berus Gigi Yang Lembut
Setelah gigi tumbuh, gigi perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Gunakan tuala basah yang lembut untuk membersihkan gigi. Terdapat juga berus gigi bayi yang lembut di pasaran. Bayi yang kecil tidak tahu meludah jadi penggunaan ubat gigi tidak perlu untuk bayi pada umur begini.

Masalah Gigi
Menyentuh masalah pergigian yang serius boleh dialami oleh kanak-kanak ialah karies rampan (rampant caries). Keadaan ini adalah di mana gigi kanak-kanak menjadi reput dan hancur dan akhirnya tinggal tunggul-tunggul sahaja. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak sentiasa sakit gigi akibat infeksi dari gigi dan gusi. Ia diakibatkan oleh kehadiran gula dari susu, susu formula dan jus yang sentiasa bertakung dalam mulut bayi untuk masa yang lama.

Juga berlaku apabila bayi tidur dengan botol susu dalam mulut semalaman atau penggunaan botol susu untuk jangka masa yang lama sepanjang hari. Tindak balas bakteria dalam mulut terhadap gula ini akan menyebabkan kerosakan gigi berlaku

Jika merujuk kepada masalah nursing bottle caries ini lebih ketara selepas bayi berusia tahun. Jadi langkah-langkah pencegahan mesti diambil awal iaitu sejurus selepas gigi tumbuh.

Sementara itu amalan pemakanan sihat perlu diamalkan. Berikan makanan yang seimbang. Lebihkan pemberian buah-buahan dan sayur-sayuran untuk pembentukan tulang, gigi dan kulit yang sihat. Elakkan dari memberikan bayi sebarang makanan yang manis pada umur semuda ini. Jangan lupa bahawa bayi dan kanak-kanak gemar meniru gelagat ibu bapa. Jadikan proses pembersihan gigi satu aktiviti yang dibuat bersama.
Copyright@segala terkandung adalah hak milik MUMMY AISY